Seperti juga gout, terdapat banyak dakwaan tumbuhan merawat diabetes. Saya telah menulis tentang banyak tumbuhan yang didakwa merawat diabetes. Saya ingin bahagikan herba ini kepada beberapa bahagian.
1. Ada bukti kajian klinikal menurunkan gula dalam darah contohnya halba dan peria katak. Namun begitu ada beberapa kekurangan dari segi kajian klinikal yang dilaporkan.
2. Ada bukti kajian klinikal tetapi tidak signifikan seperti ubi yakon dan mas cotek.
3. Ada bukti kajian secara terperinci ke atas haiwan dan sel contohnya daun mulberi, mas cotek, buah tunjuk langit, mahkota dewa, dan bendi.
4. Ada bukti kajian peringkat saringan sahaja ke atas tikus atau piring petri contohnya daun rama-rama, pokok lidah jin, dan bawang dayak.
Sebelum membuat dakwaan merawat, kita perlu memahami apakah itu penyakit diabetes jenis kedua.
Penyakit diabetes jenis kedua ini disebabkan oleh kerintangan insulin. Akibatnya gula banyak dalam darah dan gagal diangkut oleh sel adipocyte ke sel lain dalam badan. Ini menyebabkan fenomena kurus, kencing kerap dan komplikasi lain seperti rosak buah pinggang, rosak mata, pekak dan kerosakan saraf.
Mari kita tengok kajian herba-herba ini. Kebanyakan herba-herba ini hanya mengurangkan bacaan gula selepas makan atau postprandial sugar. Antaranya dengan merencat sejenis enzim yang menukar gula kepada glukosa iaitu enzim alpha-glucosidase dan enzim alpha-amylase. Dalam erti kata lain, dia hanya mengurangkan penguraian karbohidrat kepada glukosa dan tidak merawat punca penyakit diabetes seperti kerintangan insulin dan lain-lain.
Sebab itu jika tumbuhan ini sejenis makanan seperti peria, bendi dan daun mulberi, anda boleh jadikan ia ulam untuk makan dan jangan sesekali meninggalkan ubat. Namun apabila ia dijadikan produk, kajian perlu lebih terperinci ke atas produk tersebut dan bukan sekadar merujuk kajian lain.
Untuk mendakwa sesuatu herba itu merawat penyakit, ia perlu melalui kajian klinikal berpiawai tinggi. Kajian ke atas piring petri, kajian ke atas tikus atau kajian pilot ke atas manusia bukan bukti perubatan yang kukuh.
Satu pertimbangan lain, adakah herba ini lebih baik berbanding rawatan sedia ada? Jika tiada kajian menunjukkan sedemikian, herba hanya boleh sebagai komplimentari, melengkapkan rawatan bukan sebagai rawatan utama. Walaupun hanya komplimentari, bukan bermakna hanya sekadar dengar-dengar atau testimoni, ia memerlukan kajian klinikal bersama ubat sedia ada untuk melihat kesan sampingan, toleransi kombinasi rawatan dan lain-lain.
Jika ada kajian menunjukkan ia lebih baik, tak perlu sesiapa sebut, pakar perubatan kita sendiri akan masukkan ia sebagai rawatan utama. Kalau belum ada, maksudnya belum ada bukti kukuh yang ia lebih baik berbanding rawatan sedia ada.
Namun begitu, bincang dahulu dengan doktor sebelum nak jadikan ia rutin seperti minum air halba atau makan jus peria katak. Bimbang ia boleh menyebabkan hypoglycemia atau kurang gula dalam darah yang membahayakan.
PhD (UiTM)
Bukan doktor pelesu dan bukan doktor perubatan. Jangan tanya soalan perubatan.
Untuk senarai artikel mengenai herba di atas, cari di album KENALI HERBA
atau di laman sesawang saya, https://www.drcheputeh.com/blog/categories/kenali-herba
No comments:
Post a Comment
Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D