Sunday, February 16, 2020

Bila Suami Tiba-Tiba Terlantar Sakit Stroke...

Aku pernah merasa hidup sangat sempurna.

Punya suami untuk berlindung dan berharap.
Punya keluarga kedua belah yang rapat dan berkasih sayang.

Aku punya kerjaya dan pendapatan tetap, yang bila hujung bulan pun bakinya masih banyak. Kerana itu aku tidak pernah peduli bagaimana suami mengatur keluarga kami.

Tidak pernah ambil tahu perkara lain kecuali rumahtangga dan anak-anak. Yang aku tahu semua benda beres.

Kereta beres.
Makan minum beres.
Program hujung minggu beres.

Di sini silapnya aku, kesilapan terbesar dalam hidupku.

Iaitu meletakkan pengharapan pada manusia.




Disaat suami tidak sedarkan diri, hari pertama aku tak tentu arah. Minggu pertama aku mula gelabah,

Mahu telefon siapa?
Mahu cari siapa untuk minta pertolongan?
Orang yang tidak pernah berkata "tidak boleh" telefonnya di tangan aku. Dia disana terbaring tanpa sedar.

Biasa bagi aku tinggal pesan yang panjang lebar, mahu itu ini, begitu begini menurut kemahuanku. Dan aku hanya mahu jawapan "OK", sepatah yang bermaksud aku tak perlu fikir lagi apa-apa.

Aku mula terasa dunia membelakangi aku, manusia-manusia yang aku harapkan rupanya tidak semua boleh diharapkan. Aku kehilangan sokongan paling besar, saat itu tanggungjawab 100% di atas kepala ku, hingga lah ke saat ini.

Selepas stroke suamiku hilang pekerjaan yang dia dedikasikan 90% dari hidupnya. Makan, mandi, tidur pun kadang kat kedai sampai cuti pun kami anak beranak duduk di kedai. Hilang pendapatan, hilang upaya dan hilang juga sebahagian dari orang-orang terdekatnya.

Orang kata bila kita susah, hanya yang benar-benar ikhlas akan mendekat. Dan itu adalah BENAR.

Pernah Saiful ambil insurans, lepas itu bila tahu tentang takaful dia tamatkan insurannya. Belum sempat ambil takaful, dia kena stroke.

Maka cabaran kami adalah bermula dari hidup dan akaun yang kosong. Yang ada adalah hutang-piutang. Saiful tiada pampasan walaupun sesen, mujur KWSP dapat dikeluarkan buat bayar hutangnya. Dan di saat pencen ilat Perkesonya lulus aku manusia paling bahagia, RM600 sebulan terasa sangat besar kerana ia juga adalah harga sekotak besar lampin pakai buang yang terpaksa dibeli setiap bulan.

Apabila diambil balik semua yang pernah ada aku sangat kecewa. Kecewa yang menyebabkan aku menangis terlalu banyak dan tidak tidur berhari-hari. Aku sangat yakin aku sudah berada di ambang kemurungan. Bayangan mahu mati bermain-main setiap masa. Namun ia juga pengalaman dan pengajaran mahal.

Namun yang paling benar adalah segala titik pengharapan hanyalah pada tuhan. Apabila dibuangkan harapan pada manusia baru lah hidup lebih tenang. Aku dibantu dengan minyak terapi untuk memaafkan diri aku yang lalai dulu, membuang pergantungan pada orang tertentu barulah jiwa aku tenang. Baru lah boleh fokus pada rawatan suami.

1. Jangan mengharapkan majikan akan bantu, urus sendiri segala urusan rasmi. Bukan dia yang susah, jadi dia tak rasa. Setakat hilang seorang pekerja esoknya dia dah jumpa pengganti. Jadi 'move on', tak guna mengharap orang nak tolong kita.

2. Gunakan Internet untuk mendapatkan nombor telefon pejabat-pejabat rasmi, laman rasmi di Facebook juga sangat membantu. Pastikan telefon sendiri atau hadir sendiri untuk maklumat yang lebih tepat, tak perlu buat kerja banyak kali atau memesan-mesan pada orang lain.

3. Buat rombakan besar-besaran pada pola perbelanjaan, jual apa yang tidak di perlukan untuk menambah aliran wang. Tukar kereta yang lebih menjimatkan. Wang diperlukan untuk kos rawatan dan jagaan yang lebih mustahak. Kalau mampu buat kerja sampingan untuk memastikan kita ada wang untuk beli makanan selain perbelanjaan rumah.

4. Elakkan dan putuskan hubungan dengan manusia yang toksik. Bagi aku ini adalah sangat penting untuk menjaga mental , ini bukan bermaksud cari gaduh atau memutuskan silaturahim. Cuma kalau orang begini datang cari, kita perlu bersedia untuk 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Jangan biar perkara negatif mengganggu mental, tahan lidah dan mulut dari menjawab dengan cara banyakkan senyum dan mengangguk sahaja.

5. Ini perkara yang aku sedar selepas bersama-sama rakan senasib yang suami mereka stroke. Takaful dan hibah sangat-sangat penting. Ada orang yang mentua dan ipar duainya dari neraka, yang mahu tuntut semua rumah dan harta suami sedangkan suami masih ada isteri dan anak-anak apatah lagi nak tolong sara jauh sekali. Duit pampasan sangat penting untuk mula kan hidup balik.

Ingat walaupun duit bukan segala-galanya, tapi segalanya perlukan duit. Duit boleh menjadikan manusia mulia, namun duit juga jadi punca sehina-hina manusia. Jadi kita pilih lah yang sederhana , cukup untuk hidup selesa dengan keluarga pun dah okay. Disebalik ujian itu ada rahmat yang tak tersangka-sangka.

Panjangnya?

Coretan : Jiha Shuib

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D