Tuesday, September 25, 2018

Jus Munafik

Lagi pesakit kami bertarung nyawa di ICU akibat pengambilan suplemen berbentuk jus. Anak pesakit tersebut berkali-kali menyatakan penyesalannya kerana membelikan jus tersebut buat ibunya.

Sangkanya jus yang diiklankan dalam siaran radio islamik itu boleh membantu kesihatan ibunya. 

Iyalah; dah kandungannya dikatakan mempunyai khasiat delima, kurma, madu, za'faran dan sebagainya. Takkanlah boleh bawa kesan buruk?



Yang dia dan ramai orang tak tahu ialah, jus-jus sebegini sebenarnya ialah jus murahan yang diborong secara pukal dari negara jiran dan dibotolkan disini. Kemudian dijual dengan harga yang mahal. Kandungannya entah apa. Jus yang sama, hanya warna dan label yang berbeza-beza. Yang pasti kandungan gulanya sangat tinggi. Sebab itu kilang pengeluar jus takkan tertera pada botol, hanya nama syarikat pemborong sahaja. Dah kilangnya tak wujud di sini!

Kadangkala saya terfikir, lebih baiklah minum air gas sahaja. Walaupun gulanya tinggi, namun kandungannya dah pasti, tiada penipuan disitu. Kilangnya ada disini, dan diselia ketat oleh penguatkuasa tempatan. Minum air gas setiap hari, paling teruk dapat kencing manis saja; boleh diubati. Tetapi minum jus merapu sebegini, silap-silap rosak buah pinggang dan hati disebabkan bahan beracun yang tak diketahui. Sudahlah gulanya pun tinggi.

Yang menyakitkan hati, kebanyakan jus sebegini menggunakan nama islamik dan dikatakan mengandungi makanan sunnah dalamnya. Kemudian diiklankan dalam media islamik pula. Apa yang islamik pada makanan sebegini pun saya tak tahu. Pernahkah Nabi kita (SAW) minum jus madu, kurma, za'faran secara bercampur-campur? Pernahkah Baginda makan sesuatu yang tak diketahui kandungannya dan dikeluarkan ditempat yang tak pasti halal haramnya (syubhah)?

Sekurang-kurangnya air gas tak menipu. Ada gula diberitahu berapa kandungan gulanya. Ada pengawet diberitahu kandungan pengawetnya. Tetapi pernahkah jus suplemen menyatakan kandungan gula, pengawet dan pewarna? Yang tertera hanyalah kandungan yang indah-indah saja. Betulkah ada?

Jus suplemen penipu.

Kandungan beracun. Label islamik.

Munafik.

Artikel dari: Hana Hadzrami

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D