Wednesday, May 30, 2018

KENAPA BAHAGIAN FARAID LELAKI LEBIH? ADILKAH???

KENAPA BAHAGIAN FARAID LELAKI LEBIH? ADILKAH???

Hukum faraid sering dikatakan sebagai tidak adil dan berat sebelah terhadap wanita. Persoalan yang selalu ditanya ialah kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih banyak berbanding dengan waris wanita. Ia seolah-olah menafikan peranan dan diskriminasi terhadap wanita. Lantaran itu, undang-undang faraid ini ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar dapat memberi keadilan kepada golongan wanita.


Hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi TANGGUNGJAWAB dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki DIPERTANGGUNGJAWABKAN memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak manakala wanita tidak dipertanggungjawabkan dengan kewajipan yang sama.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah TANGGUNGJAWAB suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun, walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. TANGGUNGJAWAB ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami yang lelaki.

Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki BERTANGGUNGJAWAB untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.

Jika kita memperhalusi konsep Islam, ia sebenarnya amat mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada TANGGUNGJAWAB. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada TANGGUNGJAWAB yang lebih besar juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki yang lebih di dalam undang-undang pusaka dan hak ini sebenarnya mesti juga diiringi oleh TANGGUNGJAWAB yang besar juga.

Adalah tidak wajar jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya. Dengan cara ini, barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini akan dapat dikembangkan dan dihargai oleh masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D