Tips ini saya kongsikan berdasarkan pengalaman peribadi saya sebagai pelajar Perakaunan UiTM mode PLK Blended Learning AC 220 Accountancy. Ianya bukanlah tips yang solid untuk dijadikan ikutan atau rujukan anda. Walaubagaimanapun saya percaya sedikit sebanyak dapat membantu perjalanan anda yang melanjutkan pengajian secara mode PLK Blended Learning.
1. Rancang Pendaftaran Subjek
Merancang pendaftaran subjek adalah part paling utama dalam tips ini. Bak kata pepatah 'Fail to plan is planning to fail'.
Sebagai seorang dewasa yang bekerja, adalah penting untuk anda merancang subjek yang bakal diambil setiap semester. Bukan dengan mendaftar subjek mengikut kawan-kawan dan secara membuta tuli tanpa perancangan teliti.
Apa yang perlu anda ambil kira untuk merancang subjek yang perlu didaftar ?
Ok, ini adalah antara aspek yang anda perlu ambil kira:
a. Kemampuan anda untuk membahagikan masa untuk belajar
Jangan tamak borong semua maksimum kredit hour kalau anda sendiri tak ada masa untuk bukak buku. Perbuatan ini bakal memakan diri anda sendiri apabila pointer anda tidak memberangsangkan seterusnya menjatuhkan motivasi anda untuk meneruskan pengajian semester seterusnya.
Daftar subjek biar berpadanan dengan kemampuan anda untuk belajar. Jika anda sering sibuk dihujung tahun, maka bagi semester yang melibatkan hujung tahun, daftar subjek mengikut yang anda mampu. Sibuk sepanjang tahun macam saya ? Bahagi masa yang ada dengan sebaiknya.
Daftar banyak subjek untuk cepat grad ? Takut-takut nanti 'tergrad' pulak.
Maka, sila 'ukur baju di badan sendiri'.
b. Selesaikan Subjek Lupus & Subjek Pre-Requisite
Selesaikan subjek yang lupus dan subjek pre-requisite. Kenapa perlu sibuk habiskan subjek lain sedangkan anda mempunyai subjek yang bakal lupus? Bagi subjek lupus, yang mana jika anda tertinggal mendaftar subjek pada semester yang sepatutnya, hanya kelas secara consultancy sahaja akan diberikan. Hello, sedangkan subjek yang ada tujuh seminar pun ada yang terkontang-kanting, apatah lagi kalau subjek tersebut anda buat secara consultancy basis. Selesaikan subjek lupus anda.
Tentukan keutamaan subjek anda.
c. Kos yang anda perlu tanggung
Hitungkan kos yang anda perlu tanggung agar tidak membebankan anda pada semester itu. Kos yang dimaksudkan ialah kos yuran pengajian semester, kos buku-buku & bahan pengajian, kos minyak dan masa perjalanan anda untuk pergi kelas seminar dan lain-lain kos berkaitan dengan anda (kos baby sitter, kos makan sebagainya).
Bagi yang berkemampuan, perkara ini tidak menjadi masalah besar.
2. Pilih Teamwork Yang Komited
Pemilihan teamwork bagi tugasan assignment subjek yang anda daftar juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan kelancaran pengajian anda. Tersilap memilih ahli teamwork akan menyebabkan anda sengsara sepanjang semester terutama apabila anda seorang terpaksa bertungkus lumus menyiapkan tugasan kumpulan seorang diri.
Ramai ahli teamwork tak bermakna kumpulan anda hebat jika majority ahli adalah 'free-ride passenger' iaitu kerja tak buat tapi nama nak masuk dalam group. Ada yang buat kerja, tapi 'sampah' iaitu kerja copy paste bulat-bulat dan sangat cincai.
Awas !
Manusia pandai berjanji, manis di mulut, sembang kencang.
Hari ni dapat assignment, esok cakap nak start buat.
Tapi habuk pun takda.
Sampai masa hantar assignment, masing-masing nak lepaskan kepala sendiri.
Alasan sibuk adalah alasan lapuk yang tidak boleh diterima lagi.
Mereka ini hanya manusia yang mengambil kesempatan di atas usaha dan kepayahan anda yang bertungkus lumus menyiapkan assignment yang sepatutnya diselesaikan bersama.
Hentikan buat alasan 'sibuk'. Siapa yang tak sibuk ? Kucing, ayam pun sibuk kot.
Maka bagi orang yang tak boleh komited teamwork dan dah tahu sibuk, sila patah balik ke tips no. 1 iatu rancang subjek agar tidak menyusahkan hidup dan menjadi beban kepada orang lain. Ni cakap atas pengalaman sendiri.
3. Peta Minda
Cara paling pantas study tanpa bukak buku teks berkali-kali untuk buat revision adalah dengan cara buat peta minda, mind map. Buat peta minda dari awal seminar anda dan ianya sangat membantu anda dalam menghafal, memahami subjek anda dengan lebih baik.
Contoh peta minda saya buat untuk diri sendiri. Ianya terbukti membantu saya untuk revision saat akhir (time trafic light merah pun boleh study peta minda je), dan paling penting ianya BERKESAN.
Untuk hasilkan satu peta minda yang berkesan, ada teknik-tekniknya yang perlu dipelajari. Tak susah pun untuk hasilkan peta minda anda sendiri.
4. Think Big, Start Small But Fast
Impikan keputusan yang gempak. Peduli la apa pun orang lain nak cakap. Target anda bagi setiap subjek adalah A+. 4.00, diulangi sekali lagi, A+.
Dah tentunya anda bertungkus lumus melanjutkan pelajaran untuk mengubah taraf pendidikan anda seterusnya mengubah status kehidupan anda. Jangan malu untuk mencapai keputusan yang baik. Gunakan pepatah 'Think Big, Start Small But Fast'
Think Big - tetapkan sasaran yang besar
Start Small But Fast - mulakan study anda sedikit demi sedikit setiap hari tetapi secara pantas, Insyaallah sebelum final exam anda dah cover semuanya.
Selalu orang buat, Think Big Start Big But Late. Last minit baru nak study semua sekaligus, jangan harap la dapat sasaran besar.
---------------
Tak dinafikan saya sendiri banyak mengharungi cabaran dalam pengajian ini.
Pernah melalui perjalanan 2.5 jam satu hala untuk ke kelas seminar, pergi balik dah 5 jam. Niat jihad menuntut ilmu.
Pernah juga dicemuh golongan mentaliti rendah yang saya gelarkan 'Ketam Melayu' kerana berkongsi hasil kejayaan setiap semester. Silap orang la sebab saya ni hati kering (orang hati kering ramai jadi konsultan insurans/takaful).
Kalau iri hati dengan kejayaan orang lain dan tak boleh lawan semangat orang lain, tak perlu jadi 'Ketam Melayu' sebaliknya jadilah mereka sahabat dan benchmarking untuk anda perbaiki mana yang perlu. 'If you cannot beat them, join them'.
Alhamdulillah diberi kesempatan untuk berkongsi tips ini,
semoga tips ini memberi manfaat untuk anda, Insyaallah.