Bukan Biskut Aku
Di tengah-tengah balai pelepasan di sebuah lapangan terbang, seorang lelaki berbadan sederhana sedang duduk di kerusi. Penerbangannya dijangka akan berlepas lebih kurang 45 minit lagi.
Di sebelahnya ada seorang wanita asing,yang sedang melayari Internet menerusi smartphonenya. Lelaki tersebut meneruskan pembacaannya. Tangannya mengambil biskut yang diletakkan di sisinya dan terus mengunyahnya. Ketika dia mahu mengambil biskutnya lagi, dia terkejut apabila terpandang tangan wanita itu juga mencapai biskutnya.
"Eh, kenapa dia mengambil biskutku? Sudahlah tidak meminta izin daripadaku..." lelaki tersebut mula membuat sangkaan kepada wanita asing itu.
Pembacaannya semakin terganggu apabila melihat tangan wanita tersebut semakin kerap mengambil biskut yang berada di sisinya. Sudah tinggal separuh sahaja.
"Amboi, tangan kanan pegang handphone, tangan kiri pegang biskut aku. Sedap-sedap dia saja!" Getus lelaki itu dalam hati. Dia cukup tidak selesa dengan keadaan tersebut.
Kini, hanya tinggal sekeping biskut sahaja dalam bungkusan tersebut. Lelaki dan wanita itu saling bertentang mata. Masing-masing tertanya; siapa punya bahagian akhir ini?
Spontan wanita tersebut mengambil kepingan terakhir biskut tersebut dengan pantas. Lelaki itu melopong. Tiba-tiba, wanita itu mematahkan biskut tersebut kepada dua bahagian dan dihulurkan sebahagian kepada lelaki itu. Tanpa senyuman, dia mengambil bahagian itu.
Apabila pengumuman berkumandang memanggil para penumpang masuk ke dalam balai berlepas, lelaki itu bangun dan mencapai begnya. Sebelum itu, dia membuka begnya untuk mengambil baju sejuk.
Alangkah terkejutnya apabila didapati bahawa bungkusan biskut yang dibeli tadi ada di dalam begnya! Rupa-rupanya dia telah tersilap sangka, bahawa biskut itu sebenarnya milik wanita asing itu!
Pengajaran: Kesalahan orang lain sentiasa kita nampak, sedangkan kesalahan diri sendiri sering kita tidak sedar.
p/s: Bukan Cerita Aku :p