Thursday, January 6, 2011

Bosan Dengan Kehidupan ?

Jalanilah kehidupan seperti sungai mengalir menyusuri arus.
Cerita dalam entry kali ni amat sesuai untuk orang² yang dah bosan sangat nak hidup. Cerita ni aku penah story secara verbal kat kawan² aku yang penah mengadu nak mati la, bosan hidup dan sebagainya. Aku dapat cerita ni pun dari kawan² yang rajin forward dalam inbox aku. Kali ni aku nak berkongsi dengan korang semua ye. Hayatilah pengajaran daripada kisah ni. Semoga korang semua mendapat satu erti kehidupan yang lebih bermakna buat korang. Al kisahnya bermula ...............

Seorang pemuda berjumpa seorang Tuan Guru yang bijaksana untuk mendapatkan nasihat, "Guru, saya sudah bosan hidup. Sudah jenuh betul. Rumahtangga saya berantakan. Usaha saya tidak berhasil. Apa pun yang saya lakukan selalu gagal. Saya ingin mati."

Tuan Guru tersenyum sambil mengusap-usap jambang putihnyanya, "Oh, kamu sakit."

"Tidak guru, saya tidak sakit. Saya sihat. Hanya jenuh dengan kehidupan. Itu sebabnya saya ingin mati."

Seolah-olah tidak mendengar alasannya, Tuan Guru berkata, "Kamu sakit. Dan penyakitmu itu dikenali sebagai alahan hidup.. Ya, kamu alergik terhadap kehidupan."

Sang guru memang benar. Banyak sekali di antara kita yang alah terhadap kehidupan. Kemudian, tanpa disedari kita melakukan hal-hal yang bertentangan dengan norma kehidupan.

Hidup ini berjalan terus. Sungai kehidupan mengalir terus, tetapi kita menginginkan status-quo. Kita berhenti di suatu tempat, kita tidak mahu ikut mengalir. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit. Keengganan kita, penolakan kita untuk ikut mengalir bersama kehidupan membuat kita sakit. Yang namanya usaha, pasti ada pasang surutnya. Dalam hal berumahtangga, perselisihan-perselisihan kecil itu memang  lumrah dan asam garam berkeluarga.

Persahabatan pun tidak selalunya kekal abadi. Jadi, apa yang kekal dan abadi dalam hidup ini? Kita tidak menyedari sifat kehidupan. Kita ingin mempertahankan suatu keadaan. Kemudian kita gagal, kecewa dan menderita.

"Penyakitmu itu boleh disembuhkan, asal engkau ingin sembuh dan bersedia mengikut petunjukku." demikian kata sang guru.

"Tidak Guru, tidak. Saya sudah betul-betul jenuh. Tidak, saya tidak ingin hidup." Pemuda itu menolak tawaran sang guru.

"Jadi engkau tidak ingin sembuh. Kamu betul-betul ingin mati?"

"Ya, memang saya sudah bosan hidup."

"Baiklah, kalau begitu pagi esok engkau akan mati. Ambillah botol ubat ini. Setengah botol diminum malam ini, setengah botol lagi diminum pukul 6 pagi esok. Engkau akan mati dengan tenangnya pada pukul 8 malam."

Pemuda itu pula menjadi bingung. Setiap guru yang ditemuinya selama ini cuba memberikannya semangat untuk hidup. Yang satu ini aneh. Malah guru ini menawarkan racun. Tetapi, disebabkan pemuda itu benar-benar putus asa dengan kehidupannya, dia menerimanya dengan senang hati.

Sebaik sahaja sampai ke rumah, dia segera menghabiskan setengah botol racun yang disebut "ubat" oleh guru itu. Dan, dia mula merasakan ketenangan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Begitu relaks, begitu santai! Tinggal sehari semalam lagi sebelum dia mati. Bermakna dia akan bebas dari segala macam masalah tidak lama lagi.

Malam itu, dia memutuskan untuk makan malam di luar bersama keluarganya di sebuah restoran Jepun. Sesuatu yang sudah lama dia tidak lakukan selama beberapa tahun kebelakangan ini. Kerana mengenangkan ia akan menjadi malam terakhirnya, dia ingin meninggalkan kenangan manis untuk anak isterinya. Sambil makan, dia bersenda gurau. Suasananya santai dan seisi keluarga terhibur!

Sebelum tidur, dia mencium bibir isterinya dan membisikkan kata-kata romantis di cupingnya, "Sayang, aku mencintaimu." Kerana malam itu adalah malam terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis!

Esoknya bangun tidur, dia membuka jendela kamar dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya. Lantas dia tergoda untuk berjogging sambil menikmati pagi yang indah . Pulang ke rumah setengah jam kemudian, dia melihat isterinya masih lena. Mungkin diuliti mimpi indah, fikirnya.

Tanpa mengejutkannya, dia masuk dapur dan membuat dua cawan kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Disebabkan pagi itu adalah pagi terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis!

Si isteri pun berasa aneh sekali, "Sayang, apa yang terjadi hari ini? Selama ini, mungkin saya ada berbuat salah. Maafkan saya, bang."

Di pejabat, pemuda itu menyapa setiap orang, bersalaman dengan setiap orang. Stafnya pun kehairanan.

"Hari ini, Boss kita macam pelik je, kan?"

Dan sikap mereka pun turut berubah. Mereka menjadi lembut hati dan bekerja bersungguh-sungguh dan mengikut segala arahannya. Kerana siang itu adalah siang terakhir, pemuda itu ingin meninggalkan kenangan manis!

Tiba-tiba, segala sesuatu di sekitarnya berubah. Dia menjadi ramah dan lebih bertimbang rasa serta menghargai pendapat-pendapat yang berbeza, tidak seperti sebelumnya.
Tiba-tiba hidup menjadi sungguh indah. Dia mula menghargai dan menikmatinya.
Pulang ke rumah pukul lima petang, isteri tercinta siap menunggunya di pintu depan dengan senyuman yang manis sekali. Kali ini isteri yang terlebih dahulu memberikan ciuman kepadanya, "Abang, sekali lagi saya meminta maaf, kalau selama ini saya selalu menyusahkan abang."

Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, "Ayah, maafkan kami semua. Selama ini, ayah selalu tertekan disebabkan oleh perangai dan kenakalan kami."

Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalir kembali. Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Dia terdetik untuk membatalkan  niatnya untuk membunuh diri. Tetapi bagaimana dengan setengah botol yang sudah dia minum petang semalam?

Pemuda itu kembali menemui gurunya. Melihat wajah pemuda itu, sang Guru dapat mengetahui apa yang telah terjadi.

"Buang saja botol itu. Isinya air biasa. Kau sudah sembuh, Apabila kau hidup dengan kesedaran bahawa maut dapat menjemputmu bila-bila masa sahaja, maka kau akan menikmati setiap detik kehidupan. Leburkan egomu, keangkuhanmu, kesombonganmu. Jadilah lembut, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan. Kau tidak akan jenuh, tidak akan bosan. Kau akan berasa hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan."

Pemuda itu sungguh gembira dan tersedar akan kesilapannya selama ini dalam mengemudi hidup. Dia lantas mengucapkan terima kasih dan menyalami Sang Guru, lalu pulang ke rumah, untuk mengulangi pengalaman malam sebelumnya. Dia masih mengalir terus. Dia tidak pernah lupa hidup dalam kekinian. Itulah sebabnya, dia selalu bahagia, selalu tenang, selalu HIDUP!

About Author:

Konsultan MAA Takaful. Nak sembang takaful boleh whatsapp bila-bila 013-404 4072


Let's Get Connected: Twitter | Facebook | Google Plus

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D